Thursday, December 15, 2011

Rozita Pengasas Sendayu Tinggi kini sudah berpurdah ~ Ada MESEJ yang mendalam...

Siapa tak kenal Puan Rozita jutawan terkenal pengasas produk kecantikan Sendayu Tinggi ni kan... Kini beliau tampil berpurdah. Alhamdulillah...

Tapi ini bukan nak war-warkan tentang penghijarahan beliau... Tapi aku tertarik untuk share artikel tentang beliau dari Aduhaimedia.com sebab ada mesej mendalam yang ingin dikongsikan...

_________________________________________________________________________________




Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kesusahan lampau saya kerana banyak majalah menyiarkan cerita itu. Niat saya tiada lain, hanya mahu menjadi pencetus semangat untuk wanita di luar sana. Biar mereka tahu, sebagai manusia jangan terlalu mengharapkan orang lain untuk berjaya dalam hidup.

Saya pernah jadi penoreh getah, sambil-sambil itu melakukan bermacam-macam kerja kampung untuk menampung hidup. Malah pernah juga cuba berniaga kedai runcit, menyertai MLM dan bekerja kilang.

Apabila berjaya dengan perniagaan Sendayu Tinggi, saya mula sedar manusia perlu ada tiga sifat jika mahu berjaya. Pertama, mereka mesti mengorak langkah untuk memulakan perkara kecil dalam diri. Kemudian, jangan pernah berkata tidak sebelum mencuba kerana tiada apa yang mustahil. Ketiga, jangan suka menyalahkan orang lain.

Nilai sepuluh sen

Bila sudah berjaya mengumpul kekayaan, tiap-tiap tahun saya pergi umrah. Ada banyak peristiwa yang dialami di tanah suci namun ada satu pengalaman yang paling menarik. Ia berlaku ketika saya tidur lalu bermimpi, satu suara menyuruh saya membaca beberapa ayat daripada surah Al-Baqarah.
Sekembalinya saya ke tanah air, saya terus mencari tafsir Al- Quran. Saya mendapati antara maksud ayat yang disuruh baca itu ialah mereka yang mendapat hidayah namun jika memalingkan mukanya, mungkin tiada lagi hidayah untuknya selepas itu.

Saya memang sudah lama terdetik mahu berganjak ke alam (fasa) lain sebaik sahaja usia mencecah 40 iaitu membuat persediaan untuk mati. Saya mula melihat betapa kehidupan di dunia ini sangat singkat, indah dan perlu dinikmati. Saya sedih mengenang ramai orang yang berjaya dalam perniagaan tetapi hidup tidak bahagia.

Ketika saya mengejar dunia, hidup dirasakan huru-hara. Pernah saya beli sebuah kereta dengan harga RM1 juta. Setiap kali tiba di satu-satu tempat, saya senang melihat banyak mata memandang dan berbisik-bisik kagum. Namun lama-kelamaan saya tersedar, rasa bangga melihat kekaguman orang itu menimbulkan perasaan riak dan mahu menunjuk-nunjuk.

Jika syiling sepuluh sen terjatuh, pernah satu ketika saya tidak mahu mengutipnya semula. Waktu itu saya memikirkan kelas sebagai seorang jutawan. Tetapi hari ini, saya tidak mahu lagi bersikap begitu. Saya mahu buang rasa riak, sebab nilai duit sepuluh sen itu besar nilainya pada sesetengah orang dan tidak patut dibazirkan begitu sahaja.

Saya tidak pandai mengaji dan tidak tinggi ilmu agama. Jadi saya mengupah seorang ustazah yang tinggal bersama di rumah ini untuk mengajar serta seorang ustaz untuk berkongsi ilmu agama. Sehari setiap minggu, rumah saya dibuka untuk orang ramai menyertai majlis ilmu yang dibuat di sini.
Impian saya yang masih belum tercapai ialah membina sebuah kompleks hasil perniagaan. Di kompleks berkenaan saya mahu membangunkan aktiviti dakwah di samping memberikan kehidupan kepada fakir miskin menerusi perkongsian ideologi perniagaan.

Saya tidak mahu golongan susah yang saya bantu ini memandang saya sebagai sumber kewangan. Saya tidak memberikan mereka ‘ikan’ tetapi ‘pancing’ untuk mengubah kehidupan. Caranya saya beri mereka produk untuk dipasarkan. Saya juga mengambil kuih, kerepek dan lain-lain daripada mereka untuk dijual.

Satu lagi impian yang sedang diusahakan, saya mahu bina sebuah rumah perlindungan untuk anak yatim piatu dan mualaf. Rumah sudah ada, tenaga pengajar pun tidak ada masalah. Cuma tinggal mencari bayi dan kanak-kanak untuk dibesarkan dengan pendidikan akademik berserta ilmu agama di rumah tersebut.


Kini mula berpurdah

Purdah ini sudah lima bulan saya pakai. Bukan sebab alim, dan bukan juga sebab H1N1. Sebaliknya inilah antara cara saya menjaga hati daripada dirasuk perasaan riak. Bila mengenakan purdah, tiada orang yang mengenali saya jadi tiada lagi layanan istimewa yang biasa saya dapat.

Saya tidak malu untuk mengaku, selama ini memang saya pakai tudung tetapi hati masih kotor. Ini kerana walaupun memakai tudung saya sering kalah bila syaitan berbisik supaya bersolek setiap kali ke luar rumah sesuai status selaku pengasas produk kecantikan.

“Kau kenalah pakai baju yang menampakkan kelangsingan, barulah orang tahu produk kau bagus” – itu juga antara bisikannya yang sering menewaskan saya. Barangkali ketika itu saya antara wanita akhir zaman yang disebut dalam hadis ‘menutup aurat tetapi masih bertelanjang’ .

Sebagai majikan pula, kadangkala saya memarahi pekerja kerana mahu semuanya serba sempurna. Saya menjadi sungguh takut apabila tersedar dan berfikir bagaimana pula saya di sisi majikan paling besar iaitu Allah Taala? Dia pun berhak marahkan saya kerana sungguhpun solat, di mana zikir dan amalan sunat bagi menyempurnakan lagi amalan kepadanya?

Syukurlah, perubahan yang dibuat melimpahkan bahagia dalam hidup. Anak-anak  (Nurhayati, Alif Syukri, Aiman Hazim, Nurazizah dan Nurain Sufiyah)  dan suami melengkapkan lagi dunia wanita ini.

Kini hari-hari saya lalui sambil meneguk kelazatan ilmu akhirat. Melayan keletah anak-anak, mengulit orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong, kari, limau purut dan pokok herba lain; juga melayan burung, ayam, lampam, puyuh, puyu dan tilapia melengkapkan lagi kediaman bak syurga dunia yang saya gelar Sorga Ammi.

Sesudah solat Subuh, tatkala berdiri di balkoni rumah menyaksikan kabus berlalu dibawa angin sambil merenung kalam-kalam bukit , saya semakin yakin betapa perlunya saya bersyukur menjadi hamba yang dilimpahi kasih sayangNya.

p/s : jadi pada sesape saudara muslim yang masih belum bertudung,bukalah mata.berubah untuk kebaikan.Dunia ni hanya pinjaman.semoga Allah membuka hidayah pada semua


_________________________________________________________________________________


Point2 penting yang ingin aku highlight kan di sini adalah:
  • mereka yang mendapat hidayah namun jika memalingkan mukanya, mungkin tiada lagi hidayah untuknya selepas itu - Dari surah Al-Baqarah. ~> Inilah yang paling ditakuti. Di kala Allah membuka hati kita, maka segerakan bertaubat. Jangan kamu berpaling lagi...

  • Pakai tudung tetapi hati masih kotor. Ini kerana walaupun memakai tudung tapi kalah bila syaitan berbisik supaya bersolek setiap kali ke luar rumah. ~> Ini masalah besar seorang wanita... tapi percayalah... cantik itu bukan pada warna2 MAC diwajahmu... tapi pada cahaya keimananmu... Lagipon, untuk siapa kita mahu menjaja kecantikan itu? Bukankah ia milik sang suami? Jadi bersolek di rumah ala2 JLO sekalipon... :)

  • Pakai baju yang menampakkan kelangsingan - Barangkali ketika itu saya antara wanita akhir zaman yang disebut dalam hadis ‘menutup aurat tetapi masih bertelanjang’ . ~> Biar kita dikatakan berpakaian seperti wanita ketinggalan zaman dari dikatakan berpakaian seperti wanita akhir zaman...
 
  • Kita mahukan yang serba sempurna tapi bagaimana dengan solat kita? Sempurnakah? Dan bagaimana dengan zikir dan amalan sunat bagi menyempurnakan lagi amalan kepadaNYA? ~> Bercakap pasal aurat... tapi tak solat! sayang seribu kali sayang... ibarat RUMAH TANPA TIANG! Solatlah! Kerana itu benteng terakhir sebagai seorang Islam. Dan... sempurnakan ketaksempurnaan solat dengan zikir dan amalan2 sunat lain... 

Mari kita sama2 muhasabah diri... Yang baik kita ambil untuk perbaiki diri untuk jadi muslimah yang lebih baik... dan ada perkara yang masih boleh diperbaiki tu, kita perbaiki sama2...

Bermula di mana?
Jaga solatmu... Labuhkan tudungmu... Longgarkan bajumu...
Dan ingat... Kita belum sempurna dalam menutup aurat hanya kerana kita bertudung...
Juga... Kita bukanlah alim bila bertudung labuh tapi tidak solat!


"Sesungguhnya jika aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan"- Imam Hassan al Basri

8 comments:

  1. InsyaAllah..
    Byk lagi kena baik pulih ni... ;)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.....
    Islam itu syumul...
    terharu sangat baca tang dia kata dulu duit 10sen pon taknak kutip.......

    ReplyDelete
  3. insyaallah tetiba rasa rendah diri. suka entry ni.

    ReplyDelete
  4. tq cik kaki utk entry ni..
    ble xditegur, x dickp or x diingatkan, manusia sentiasa lupe..
    muhasabah diri~~

    ReplyDelete
  5. like like like like


    semoga kita lebih menjadi lebih baik dari sebelum2nya...amin

    ReplyDelete
  6. Entry yang terbaek! Subhanallah...

    ReplyDelete
  7. alhamddlh
    mari kita perbaiki diri ke arah kebaikan bersama2..jom jom

    ReplyDelete