Showing posts with label Madinah. Show all posts
Showing posts with label Madinah. Show all posts

Friday, July 12, 2013

Kembara Umrah March2013 [Part 6] - Perjalanan dari Kota Madinah ke Kota Mekah

Catatan Kembara Penyucian Jiwa terhenti dengan Ziarah Luar Madinah. Ok, sambung balik.
memang ambik masa, sebab untuk tulis cerita kembara ini, jiwa saya harus dlm tempoh bertenang. kalo menulis sekadar curik2 masa yg semput, memang tak dapat menulis dgn jiwa. wahhhh~~~ gitu kan. ini semua poyo! ;)

ok, sedut nafas dalam... buang segala kepoyoan. otak ligat berpusing terkenang segala memori di sana. masih segar!

Hari ke-5 kami di Madinah merupakan hari terakhir kami di Bumi Rasulullah...
kami berangkat ke Mekah petang, lepas Zuhur. pagi tu saya dan suami menziarah makam Rasulullah buat kali terakhir (untuk trip kali ini. harapnya ada lagi rezeki berkunjung ke sini. azamnya tinggi!).



Lepas Zuhur, makan laju-laju... naik ke bilik persiapkan diri. mandi sunat ihram dan solat sunat musafir. masa ni, hati kecut sampai masuk toilet 2 3 kali. tengok suami siap berihram pun nangis. rasa macam... rasa yg sgt macam2 lah! 

Di kala bas melewati Masjid Nabawi untuk meninggalkan Bumi Madinah, rasa sedih yang tak terbendung. sungguh, perasaan meninggalkan Bumi Rasulullah ini begitu mengayat hati. di sini jasad kekasih Allah disemadikan. air mata bercucuran...  suami yg di sebelah cuba memujuk: "insyaAllah... nanti kita datang lagi yer bie..." 


di Lobby hotel sebelum berangkat meninggalkan Bumi Madinah.
yer, saya memilih hitam utk umrah pertama saya. saya hanya mahu pastikan aurat saya benar2 terjaga. saya diberi pencerahan yg tiada sunat bagi wanita memakai putih. ianya sunat bagi lelaki sahaja. dan pesan saya, jika pilih putih, pastikan ia tidak jarang. segan saya bila melihat jemaah wanita yg pakai putih tapi 'garisan lintang' di tengah belakang jelas kelihatan. 


 semakin jauh meninggalkan Kota Madinah... Kota yg memberi seribu satu kisah yg manis...
ya Allah, izinkan kami berkunjung dan berziarah ke sini lagi...


Kota Madinah ke Kota Mekah jaraknya lebih kurang 420km dan tempoh perjalanannya mengambil masa lebih kurang 6 jam.

Lebih kurang 10+- km perjalanan dari Kota Madinah, kami ke BIR ALI yang mana inilah miqat bagi jemaah haji/umrah yang datang dari Madinah. di sinilah kami berniat ihram dan solat sunat ihram. diiringi dengan solat sunat minta Allah permudahkan ibadah umrah saya dan suami. masa ni, dah tertunai rukun umrah yang pertama. azlina, awk dalam ihram skrg... dlm proses tunaikan umrah! ya Allah... berdegup kencang jantung ni.

Miqatmerupakan sempadan bagi ibadah haji/umrah seseorang itu dikira bermula (batas-batas yang telah ditetapkan). Apabila melintasi miqat, seseorang yang ingin mengerjakan haji/umrah perlu mengenakan kain ihram mereka dan memasang niat. Miqat digunapakai bagi haji dan umrah


Bir Ali dari lensa galaxy tab jer. snap dari dalam bas jer sebab keadaan sedikit kelam kelibut krn masa yg terhad. lagi pun masa ni dah takde hati nak ambik gambar dah.


Bila naik ke bas, jemaah semua berlafaz niat lagi sekali bersama mutawwif. dan bila bas bergerak menyambung perjalanan dan kami semua mula bertalbiah dgn pimpinan mutawwif.

Labbaikallahumma Labbaik. Labbaika Laa Syarika Laka Labbaik. Innal Hamda, Wan Ni’mata, Laka Wal Mulk, Laa Syarikalak.
"Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan ni'kmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu".

talbiah ni benar2 menyentuh hati saya. biasa tgk dalam tv bila musim haji. skrg saya bertalbiah dan dalam perjalanan menjadi tetamuNYA. satu perasaan yg sukar diceritakan. dalam hati, doa tak henti2... semoga Allah terima kami sbg tetamuNYA.


sepanjang jalan saya memilih untuk bertalbiah dan berzikir. takut tertidur. nak jaga wudhu' untuk solat maghrib dan isya' dulu. pandangan ku lontar ke luar tingkap. pandangan padang pasir dan batuan batuan itu sangat mendamaikan. 


Kemudian, kami berhenti di hentian macam R&R iaitu di WADI QUDAID. ada sebab kenapa pihak Andalusia memilih Wadi Qudaid sbg tempat persinggahan. ia adalah utk mengingati perjalanan hijrah Rasulullah dari Kota Mekah ke Madinah tanpa bekalan yg memadai dan ianya perjalanan yg tidak mudah dan tidak juga ringan. di sini berlakunya 1 peristiwa tentang mukjizat yg Allah bagi pada Rasulullah. kambing kurus milik Ummu Ma'bad yg tidak lagi mampu mengeluarkan susu tetiba mengeluarkan susu yg banyak setelah Rasulullah mengusap kantung susu kambing tersebut dgn menyebut nama Allah. Allahuakbar!
[untuk cerita terperinci tentang peristiwa ini, boleh rujuk di SINI]

Di sini kami ada restoran, toilet dan surau. di sinilah kami solat Maghrib dan Isya'. cuma pada pendapat saya, better kekalkan berwudhu' atau sediakan botol wudhu' sebab kalau perempuan susah sikit nak ambil wudhu'. sebabnya toilet di sini agak daif sikit utk kuantiti jemaah yg ramai. 

makanan yg disediakan oleh pihak Andalusia. memang sedap dan terbaik! tak pernah lagi saya makan nasi Arab kering kotang yg menyelerakan begitu. tapi tak tahulah sedap atau lapar. hehehee... tapi memang kat sana Allah permudahkan sangat2 sebab apa makanan yg dihidang semua sedap pada saya yg sebenarnya agak memilih sikit bab makan. Alhamdulillah... antara nikmat yg Allah bagi.


perjalanan diteruskan dan pelbagai cabaran boleh nak sampai ke Mekah. tak perlu saya cerita apa dugaan2 nya tapi perjalanan kami jauh lebih mudah berbanding dengan hijrah Rasulullah dan sahabat2 baginda. tiap kali berhadapan dgn masalah dlm perjalanan kami, doa yg tak henti2 supaya kami dapat sampai dgn selamatnya ke Kota Mekah. 

Alhamdulillah... lebih kurang pukul 10malam, akhirnya kami sampai di Kota Mekah. dari belahan malam, jelas kelihatan Menara jam Abraj Al-Bait sebagai mercu tanda Kota Mekah. ya Allah... aku sudah dekat dengan Masjidil Haram... makin dekat dengan Kaabah!!! 

akhirnya aku menjujung langit dan berpijak di bumi suci MU ya Allah... kamu tak mimpi azlina!!! 


***bersambung***


Monday, May 20, 2013

Kembara Umrah March2013 [Part 5] : Ziarah Luar Madinah

Pada hari ke 4 kami di Madinah, kami dibawa untuk ziarah luar Madinah. Lawatan bermula seawal pagi.


*** MASJID QUBA' ***

Destinasi pertama kami adalah MASJID QUBA'. sebelum memulakan trip ini, Mutawwif kami ingatkan supaya berwudhu' sesiap dari hotel kerana Rasulullah SAW bersabda:


“Sesiapa yang berwudhu’ di rumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba’ untuk solat, akan diberi ganjaran pahala seperti pahala menunaikan umrah”(HR Ibnu Majah).

Masjid Quba' telah dibina oleh Rasulullah sewaktu baginda dalam perjalanan hijrah ke Kota Madinah. masjid pertama yang dibina dalam sejarah Islam berasaskan iman dan taqwa. 

“…sesungguhnya Masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”. (Surah At-Taubah : 108)


dari kejauhan kelihatan Masjid Quba' yang tersergam indah. ramainya manusia. semua yang datang mengambil peluang untuk 'mendapatkan pahala umrah' di sini. agak seksa jugak sebenarnya nak membolosi pintu untuk masuk ke masjid ini. dalam hati doa tak putus2: "ya Allah, permudahkan ibadahku ya Allah..." Alhamdulillah, Allah izinkan aku bersujud di Masjid ini. dimulakan dengan solat sunat tahiyatul masjid dan diiringi solat sunat yang lain. dan sebagai perkongsian dengan sahabat2 yg bakal menziarah ke sini, sediakanlah uncang selipar/kasut yg proper dan bawalah masuk bersama kerana keadaan di sini agak padat. sedih bila melihat jemaah yg membawa selipar mereka masuk dan diletak begitu sahaja atas karpet tanpa sebarang alas sedangkan di situlah juga tempat yg kita bersujud. jadi sediakanlah sejadah kecil dalam bag anda. juga dinasihatkan berpakaian 'mesra solat' sesiap sebelum melangkah masuk ke sana. 




tersenyum puas atas keizinan dari Allah untuk bersolat di sini
bersama ahli rombongan. kakak2 yg sgt penyayang. syukur atas ukhwah ini ya Allah...


*** Ladang Kurma ***
Lokasi seterusnya ialah ladang kurma. masa ni excited saya. mood jakun is ON! hehehhee... di ladang kurma ni boleh beli kurma dan kekacang yg lain (bukan petik dari pokok yer). kalau ditanya, mana lagi OK beli kurma kat ladang kurma ni ker kat pasar kurma? pada saya ada pro dan con. sebagai contoh: kurma nabi di sini cecah 100 riyal sekilo dan anda boleh dapat dengan harga 70-80 riyal di pasar. tapi pada saya, kurma di sini lebih fresh dan 'cantik' berbanding dgn di pasar. so, saya beli di kedua-dua tempat. separuh beli kat ladang kurma, separuh lagi beli di pasar. fair & square. heheee...

kat sini juga ada kurma fresh yg masih bertangkai tu. jangan cuba rasa tau. lemak2 manis. sedap... :)


dah gaya macam gi petik kurma di ladang jer. :p



*** Jabal Uhud ***

ketika sampai di Jabal Uhud ni, matahari tgk tegak di atas kepala. panasnya bukan penghalang utk kami menziarah di sekitarnya. panas dunia, panas lagi padang mahsyar. 




Jabal Uhud adalah bukit yang terpanjang dan terbesar di Madinah. di sinilah berlakunya peristiwa perang Uhud yang mana mengorbankan ramai para pejuang islam kita di tangan tentera kafir Quraisy. Mengimbau sejarah Perang Uhud sbg iktibar bersama:

Rasulullah bersama 700 orang muslim Madinah berperang dengan 3000 orang kafir yang datang dari Mekah. Rasulullah pada awalnya menyuruh tenteranya berkubu di Jabal Al Rumah (Bukit Pemanah). Pada peringkat awal, semasa diserang, tentera Islam berjaya mematahkan serangan dari pihak musuh. Ramai tentera musuh yang terkorban. Rasulullah sudah berpesan kepada tentera Islam supaya tidak meninggalkan Jabal Al-Rumah. Tetapi, mereka terpedaya untuk berebut harta rampasan perang peninggalan tentera musuh. Lalu mereka meninggalkan tempat pertahanan mereka. Menyedari apa yang berlaku, Panglima Perang Khalid Al-Walid yang ketika itu mengetuai tentera musuh dan belum memeluk Islam menawan Jabal Uhud. Dan terus menyerang umat Islam. Kesannya, ramai tentera Islam meninggal dunia. Syahid di situ. Antaranya Saidina Hamzah. Peperangan ini mengajarkan umat islam agar selalu patuh kepada pemimpin agar tidak terulang kejadian seperti ini.


di sinilah terletaknya perkuburan para Syuhada'. terdapat satu kepingan plastik di sekeliling perkuburan ini bagi mengelakkan berlakunya perkara2 bidaah yang sering berlaku di sini. ada yang campak syiling la... baling kertas2 yg menulis doa lah... waduh~~~ macam2! 

berdiri di sini buat aku sebak... 
"Assalamualaikum ya Syuhada'... ya Allah, berikanlah aku kekuatan iman seperti para Syuhada' ini dalam memperjuangkan agamaMU..." tak mampu untuk aku mendoakan utk para syuhada' ini yang mana mereka telah dijanjikan Syurga oleh Allah. yang aku gusar, aku ini! hamba hina yang ntah mana akan dicampakkan bila di hari perhitungan kelak. 

berlatar belakangkan Jabal Uhud

di kaki Jabal Rumah (Bukit Pemanah)
cukuplah sekadar di kaki bukit kita ni yer bang. 'bateri' tak cukup power nak mendaki. ;)

di sini saya kongsikan HADITH2 yang berkaitan dengan Jabal Uhud ini:

Bukit Uhud adalah bukit yang mencintai orang mukmin dan orang mukmin  mencintai bukit Uhud sebagaimana sabda junjungan s.a.w. Nabi juga membuat perbandingan tamaknya manusia dengan harta dengan sabdanya yang bermaksud: “ Sekiranya anak Adam memiliki dua bukit Uhud emas, nescaya manusia ingin memiliki yang ketiga sehinggalah tanah masuk ke mulutnya (mati).” 

sabda baginda s.a.w: "Barang siapa yang mengerjakan solat jenazah akan mendapat pahala sebesar bukit Uhud dan sesiapa yang mengiringi jenazah akan mendapat pahala sebesar dua bukit Uhud."  >> jadi janganlah lepaskan peluang untuk solat jenazah di mana sahaja anda berada. dan berada di Madinah dan Mekah adalah peluang terhebat kerana hampir setiap waktu solat ada solat jenazah. kat sana, kalau jemaah Malaysia atau Indonesia yg tak bangun bila solat jenazah, saya akan sampaikan hadith ini. bukan apa, sayang... mungkin mereka tak tahu. Alhamdulillah, setakat ini perkongsian saya diterima baik oleh mereka malahan mengucap terima kasih atas perkongsia yang mereka tak tahu ini. 


*** Pasar Kurma ***

ada ker masa trip kami hari tu, kami diberi masa selama 15 minit untuk membeli belah. berlari-lari gaya explorace la kami. tak sempat pilih2, main sambar jer. sebenarnya, dari Masjid Nabawi nak ke Pasar Kurma ni tak jauh pun. kalau tak ikut trip pun, boleh jer jalan. tapi biasalah... kami adalah tak kuasa. hehehehe....


hasil shopping dlm masa 15 minit. tetap berlaku dgn jayanya! :)




Entry sebelum:




Thursday, May 16, 2013

Kembara Umrah March2013 [Part 4] : Cinta bertamu di Kota Madinah



Kami di Madinah selama 3 hari iaitu pada hari ke-2, 3 dan 4 (14-16.May.2013). menginap di Hotel Mubarak Silver. walk distance yang dekat jer jaraknya dengan Masjid Nabawi.

aku jatuh cinta dengan Kota Madinah ini. cuacanya sejuk dan berangin. bila waktu solat, semua kedai di tutup, dengan kain jer pun. tiap kali itulah juga selalu terfikir; bilakah Malaysia akan jadi begini? sedangkan waktu solat Jumaat pun, lelaki2 masih tega berlepak di kedai kopi. abaikan! jangan berangan tinggi untuk tinggikan lagi tempat jatuhnya sebuah hampa... :(

Pada hari kedua lepas ziarah Raudhah dan hari ke-3, kami tidak ada apa2 program. hari ke-3 tu adalah hari Jumaat, tidak ada sebarang trip ke luar untuk hari Jumaat. jadi lebih kepada aktiviti bebas. rutin biasa adalah ulang alik ke masjid dan saya mengambil kesempatan yang ada untuk berjalan dan melihat sekitar bandar Madinah dan shopping souvenir untuk dibawa pulang. saya cadangkan, kalau nak membeli -belah better beli kat Madinah ni sebab bila kat Mekah pada saya masa adalah sangat terhad. masa adalah sangat2 berharga dan seluruh jiwa raga diperuntukkan untuk menunaikan ibadah umrah (pada saya la). pasal harga saya tak boleh nak komen sebab kat Mekah saya langsung tidak berminat untuk bershopping sampai suami sendiri terkejut. dia siap offer 2 3 kali nak belikan jubah kat sana tapi saya tolak. untuk shopaholic macam saya, ia adalah satu pencapaian yg hebat sangat lah kot. tapi saya percaya, semua rasa ini dari Allah sebab memang saya dah niat, bila ke Mekah saya memang nak fokus pada ibadah umrah. mungkin Allah dengar doa saya dan hilangkan nafsu shopping tu dalam diri saya. Allah... KAU maha mendengar apa sahaja doa hambaMu...






Masjid Nabawi di siang hari. 



Masjid Nabawi di malam hari. payung2 tu akan ditutup.
kadang2 saja berdiri nak tengok payung tu dibuka dan ditutup. yer2, saya jakun! :)



 dalam Masjid Nabawi.


Alhamdulillah, amanat yang mengirim telah disampaikan; mewakafkan Quran.



depan masjid  penuh dengan aktiviti jual beli. macam2 ada. murah2.
stongan (stokin tangan) kata sana 5 pasang = 10 riyal. haruslah saya borong pakaian harian tu kan.
shawl chiffon bercorak panjang lebar baru 5 riyal sehelai. :)

kadang2, inilah hasilnya bila pulang dari Masjid. hehehe...
belakang tu la hotel tempat saya menginap; Mubarak Silver


Bandar Madinah. lebih tersusun dan bersih berbanding Mekah.
tapi perbandingan yang tidak sesuai ibarat rambutan dibandingkan dengan durian.
di Mekah kepadatan manusia adalah berganda ganda berbanding Madinah.

 pak2 arab ni sempat lagi ber-peace bagai. :)


ni port saya shopping jubah.

hampir semua kedai berlampu biru. nak kasik up effect cantik ler tuh! ;)
semua penjual boleh cakap melayu. nampak sgt org Malaysia suka shopping kan?1! :p


dan tempat yang paling paling paling (oh, maafkan saya cikgu BM!) saya suka pergi di Madinah adalah ke bahagian Kubah Hijau Masjid Nabawi. tempat paling dekat dengan Rasulullah. kubah hijau ini menaungi makam Rasulullah bersama mertuanya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Saidina Umar Al-Khattab r.a. 



'kuasa' kubah hijau ni kuat sangat. berdegup jantung macam nak pecah.


berdiri dgn jarak yang hanya beberapa tapak lagi dgn jasad Rasulku disemadikan. saat ini saat paling memberi kesan. paling sentimental pada aku. 


berdiri sendiri... suami dah berjaya memboloskan diri masuk ke dalam sana. beruntungnya dia. belum sempat memula 'bicara' dgn baginda, air mataku dah menitik laju. lagi ku kesat, semakin laju. lalu ku biar air mata itu terjun semahu mahu. tangis ini bukan drama. tangis ini bukan dibuat2. ia datang bersama satu rasa yg menyelinap di seluruh sanubari. rasa kerdil, hina, jauhnya aku dgn sempurna... banyaknya ajaran dan sunnah baginda aku lupa... kadang2 buat2 lupa. rasa hina sebab aku tak mampu berbuat apa untuk tegakkan Islam di akhir zaman. sedang baginda, Rasulku lalui pelbagai dugaan dan cabaran untuk tegakkan syiar Islam. 

Ya Rasulku... aku mohon syafaat mu... sudilah pandang aku sbg ummat mu di Padang Mahsyar kelak. lalu bawak aku ke Syurga walau tidak sedarjat dengan mu... Allahu Alah... tiada Tuhan ku sembah melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah. air mata menitik lagi dan lagi...






datang berulang kali... tanpa jemu!
paling tragis, di hari terakhir di bumi Madinah.
ya Allah... izinkan kami sampai ke sini lagi...


#sorry, kualiti gambar kurang memberangsangkan. pakai compact camera n tab jer. dan mood nak snap picture pon tak meriah mana. ;)


Entry sebelum:






Wednesday, May 15, 2013

Kembara Umrah March2013 [Part 3] : Sujud pertama di Masjid Nabawi & mengunjungi Raudhah


Tulis tajuk pun dah nangis ni pecer? ya Allah... sungguh ku rindu akan kota itu. terasa betapa dekatnya aku dengan 'kekasih'ku. 

sambungan dari entry SEBELUM ini, saya dan suami sampai di Madinah dekat nak Subuh. lepas dapat kunci bilik, terus naik ke bilik, bersihkan diri dan terus ke Masjid. kaki dilangkah laju. tak sabar nak tiba di situ. hilang segala penat lelah perjalananku. beberapa langkah ku susun, jelas kelihatan perkarangan Masjid Nabawi. ya Rasulullah... aku datang ya Rasulku. aku datang mahu ketemu mu... aku dapat rasa, kedatanganku kau tunggu. aku rasa hadirmu! Allahu Allah... air mata dah mencurah curah. ya Allah, tiba di sini bagai satu mimpi utk aku! syukur yg tak bertepi. 



gambar ini bukan di situasi Subuh itu. tiada gambar terakam waktu itu kerana niatku hanya satu; 'bertemu' Rasulku

kerana excited nak segera bersujud di Masjid Nabi itu, selipar ku tanggal dan ditinggal di tepi tiang begitu. tak ku fikir langsung tentang seliparku. yang aku tahu, aku mahu segerakan sujud yg pertamaku...

untuk masuk ke masjid, kena lalui 'mak guard' berniqab yang akan memastikan tidak ada telefon dan kamera terlepas masuk. takyah cari... saya memang tak bawak apa pun. bawak diri, bawak salam saudara dan sahabat dan bawak niat tinggi menggunung. tu jer... tapi kalau anda nak bawak, pepandai la. ada hari terakhir saya bawak tab, lepas pulak. tawakkal tu alallah jerla...

"allahummaftah li abwaba rahmatik. Assalamualaika ya Rasulullah... Assalamualaika ayyuhannabiyyu warahmatullahi wabarakatuh..." aku datang. bawa bersama salam2 dari saudara dan sahabat2ku...

kaki ku langkah... ramainya ummat. alhamdulillah, masih ada ruang kecil untuk ku. dimulakan dgn solat tahiyatul masjid dan disusuli solat2 sunat yg lain. diikuti dengan selawat ke atas junjungan nabi s.a.w. yang tak putus2. kemudian kedengaran azan subuh mendayu. Subuh pertama tanpa Qunut. :)
usai solat... langkah perlahan keluar menyoroti lautan manusia. kaki tak perlu dilangkah... bergerak sendiri ke depan. ditolak dari belakang. dalam hati: "sabar azlina. di sini ramai. dtg manusia dari pelbagai ceruk dgn berbeza adat dan adab." lalu azlina berjalan dgn senyum. :)
keluar... ah, selipar ku masih di situ. senyum lagi.

tiap kali keluar dari masjid Nabi ini, mesti sediakan tisu. sungguh air mata 'murah' di sini


balik solat subuh, tidur sekejap. memang sekejap jer... tak lena sebab keterujaan nak ke Raudhah. waktu yang aku tunggu2! sebelum ke Raudhah, breakfast dulu. makanan yang disediakan oleh pihak Andalusia di sini semuanya sedap bagiku. walaupon telur rebus yang kalau kat Malaysia, pandang sebelah mata pun sombong kau azlina. tapi ya Allah, nikmat dan selera makan yang sangat memberangsangkan juga dari KAU. kau mudahkan segalanya di sini...


ke RAUDHAH

Raudhah : 
satu tempat yang kecil di dalam Masjid Nabawi yang dikenal sebagai Taman Syurga. Jaraknya adalah dari makam Rasulullah (dahulunya rumah Banginda) ke Mimbarnya. Merupakan satu tempat mustajab untuk  berdoa. setiap yang datang ke Madinah pasti sedaya upaya mahu masuk ke sini.

pic  belas ehsan Google


lepas breakfast, bersedia untuk ke Raudhah bersama jemaah wanita group2 yang lain. sebelum pergi, ada taklimat oleh mutawwif khas untuk muslimat. untuk muslimat, masuk ke Raudhah bukanlah sesuatu yang senang. kita ada masa tertentu. tidak seperti muslimin yang boleh masuk ikut suka hati kecuali masa yang dikhususkan untuk muslimat. kadang2 jeles juga dengan suami yang selalu ke Raudhah. tapi tak apa, suami cakap: "abang tak pernah lupa untuk doakan bie...". alhamdulillah, itu sudah terlebih cukup untuk saya.

untuk masuk ke sini, ianya memerlukan kesabaran dan keazaman yang agak tinggi. tapi percayalah, jika Allah izinkan... terasa segala dipermudahkan. untuk explanation yang detail, boleh rujuk blog INI.

sepanjang tempoh menunggu, mulut tak henti berselawat ke atas junjungan Rasulullah. selepas dekat 3 jam menunggu, alhamdulillah... Allah izinkan saya pijak karpet hijau itu. ya Allah, masa ni sangat2 lah sebak. tak boleh nak cerita. benda pertama saya buat adalah memberi salam kepada baginda dan disampaikan salam dari keluarga dan sahabat2. salam yang bukan salam2 biasa. inilah salam paling berat yg pernah saya bawa.  dan doakan mereka dipermudahkan dan dimurahkan rezeki  untuk ke sini juga. dalam kesesakan manusia yang ramai itu, saya sempat untuk solat sunat di sini sebanyak 2 kali. lepas tu kena halau. huhuuuu...

di sini, ingin saya kongsikan ilmu seciput yang saya dapat sepanjang tempoh pembelajaran saya untuk menunaikan umrah. sesiapa yang berkesempatan pergi menziarah makam Rasulullah, apabila berada di hadapan makam Rasulullah S.A.W kita digalakkan membaca Surah An-Nisa Ayat 64:


وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلاَّ لِيُطَاعَ بِإِذْنِ اللّهِ وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذ ظَّلَمُواْ أَنفُسَهُمْ جَآؤُوكَ فَاسْتَغْفَرُواْ اللّهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُواْ اللّهَ تَوَّاباً رَّحِيماً


"Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani" 
- Surah An-nisa Ayat 64.

untuk keterangan lanjut, boleh rujuk pada video Ustaz Don ni: LINK
*saya cadangkan anda hafal doa ini.*


keluar dari Raudhah tu, rasa jiwa melayang layang. kaki laju melangkah ke hotel sebab dah nak masuk Zuhur. pasti suami saya tertunggu tunggu. sampai di hotel tengok suami sedang berborak dengan seorang wanita. ya Allah... itu ZIHA! kawan alam maya saya. telah lama kami simpan niat nak bertemu, di Kota Madinah penuh barakah ini kita ditemukan. masa tu ZIHA dah nak berangkat balik ke Malaysia. punya dia ternanti-nantikan saya, takut tak sempat jumpa saya. masa jumpa tu, tak terkata apa. peluk dan menangis sepuasnya. saya dan dia sedang berkongsi rasa yang sama. tak perlukan kata2 untuk luahkan apa yang kami rasa.


saya dan Ziha. dua2 mata bengkak wak menangis.
mata dah mcm mata panda. air mata dari Raudhah tak hilang lagi, tambah pulak nangis jumpa Ziha,.
dengan tak cukup tidurnya. memang lengkap pakejnya. hehehee...



tips dari saya untuk ke Raudhah:
bawak botol spray wudhu'. in-case wudhu' terbatal, boleh ambil wudhu' dlm masjid jer. kalau nak keluar, takut terpisah dari group. bawaklah jugak air mineral dalam bag tu. dan saya cadangkan, pakai bag yang 'lekat di badan' (macam saya pakai tu) yang mana tak perlu nak letak ke lantai bila solat. terikat ketat di pinggang sebab kat raudhah mmg padat.