Showing posts with label Bulatan Gembira. Show all posts
Showing posts with label Bulatan Gembira. Show all posts

Wednesday, November 26, 2014

Tentang Bulatan Gembira yang osem; Tauhid Rububiyyah & Uluhiyyah



"Suami... Terima kasih sebab hantar isteri usrah. Kesian suami kena tunggu lama."

"Takper... Suami suka! Suami pun dapat pahala sama. Siapa tak suka pahala kan?!"

Semalam ada Usrah dari pukul 9 -11:45 malam. Biasa hari Khamis malam Jumaat tapi sekarang dah tukar hari dah... setiap Selama malam pulak. Keluar pagi gi kerja, balik kerja dgn berlengas tak mandi terus teman isteri ke usrah adalah sangat romentik pada isteri. Oh... terima kasih suami! Kammoo romen-tik sangat! ;)


Yer, romentiknya seorang suami itu luas konteksnya dan terpulang pada si isteri menterjemahkan romentiknya suami pada pandangan kamu...
Tengok laki orang bagi bunga segala terus "eh... bestnya ko laki romentik! laki aku tak romentik, tak pernah pun bagi bunga kat aku". alahaiiiii... takyahlah nak banding2... laki ko laki ko lah... laki orang laki orang lah... cara tak sama hoke! pada mocik, laki tolong kemas rumah, basuh pinggan, vakum karpet, cucci kipas, lipat baju tu romentiknyerrrrrrrrrrrrrrr... rasa nak timang2 lambung jer! :p


Sokongan dari suami adalah sangat penting dalam kelangsungan tarbiah seorang isteri. Apa salahnya, seminggu sekali atau 2 minggu sekali atau paling komang sangat pun sekali sebulan, suami korban sikit jaga anak2 bagi masa untuk isteri ke usrah atau kelas agama. Kena faham yang tarbiah itu bermula dari rumah. Nak anak jadi soleh - solehah, mak pak nya yang kena ubah diri jadi soleh -solehah dulu. Tidaklah pulak mocik nak kata orang gi usrah ni solehah... dah cukup baik... tak! tapi ini antara jalan tarbiah dan proses membentuk diri nak jadi baik... nak jadi solehah. 


Terima kasih ya Allah izinkan saya bersila di bulatan gembira malam ni. Kadang2 rasa lemahnya kudrat. rasa penat sangat bangun subuh hari... gi kerja... tak sempat nak balik rumah terus ke usrah ngan berlengas berkebas (kebas stand for ketiak basah. hahahaa...). Tapi bila berada dalam bulatan tu, ohsemnya rasa... hilang segala penat. 

Semalam tajuk Usrah 'deep' sikit; bab Tauhid (menggunakan Kitab Tauhid, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani, Terbitan: Pustaka Salam). Di sini sedikit perkongsian dari Usrah malam tadi;
  • Tauhid ialah mengesakan Allah pada sifat Rububiyyah, Uluhiyyah dan Nama-nama serta sifat-Nya.
  • Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beriktiqad bahawa Allah SWT  bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan bagi sekelian alam.
  • Tauhid al-Uluhiyyah pula bermaksud menjadikan Allah SWT sahaja sebagai sembahan. Contohnya melalui ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji sebagai tanda pengabdian kita.
  • Sesungguhnya kesanggupan dan kesediaan manusia mentauhidkan Allah dari segi Rububiyah dengan segala pengertiannya, akan menghubung atau menyebabkan manusia mengakui Tauhid al-Uluhiyah iaitu mengesakan Allah dalam pengabdian. Secara spontan pula manusia akan mengakui bahawa Allah sahaja yang layak disembah, makanala selain daripada-Nya tidak layak disembah walau dalam apa bentuk sekalipun.

Ok, sikit jer boleh kongsi. Takut nanti terbagi ajaran sesat kat korang. Bab Tauhid ni bukan boleh ambil mudah, melibatkan akidah kita. 


Oh Usrati Jannati... Bulatan gembira yg osem yang sentiasa menggembirakan. Berukhwah dan berkasih sayang kerana Allah. Moga Allah redha.




Friday, April 18, 2014

Dapatkan Bulatan Gembira (Usrah) anda dgn JUS. Semua orang mesti punya satu! Bagaimana? Kini ada solusinya.



Assalamualaikum sahabat2 dan kesayangan2 hamba...


Pada akhir tahun 2011, saya terkesan dgn satu video tentang 'Bulatan Gembira' di blog Angel Pakai Gucci. krn video itu, saya berazam untuk mencari BULATAN GEMBIRA... untuk saya yg masih baru dlm fasa penghijrahan ketika itu, saya rasa BULATAN GEMBIRA mampu memimpin perjalanan yg masih bertatih ini dalam menuju Jannah... oh, tiap kali berkata hal ini, sumpah air mata sangat murah... sesungguhnya, di kala itu saya merasa sangat sendirian tanpa ada murobbiah yang memberi suntikan semangat setiap kali saya kalah dengan hasutan nafsu dunia... 

Dalam mencari...
Tetiba ada kawan inchik suami tanya nak join dia usrah tak? oh, ibarat manusia kebulur di padang pasir yang diberi set NANDOS yang sungguh yummyyyy~~~ pantas kata NAK NAK NAKKK!!! See, bila kamu berkehendakkan sesuatu yang baik, Allah akan permudahkan urusanmu... tinggal MAHU @ TIDAK MAHU... yer, aku mahu!!!

Teringat lagi malam bersejarah itu...
buat pertama kalinya aku berada di dalam BULATAN yang sumpah osem itu, air mataku cam waterfall... laju dan mencurah curah. tidak terbayang suatu hari aku diberi peluang oleh Allah untuk berada dalam bulatan seperti itu... bukan kerana terpaksa... tapi aku mencari kelompok2 itu... sukar digambar dengan kata2... sumpah emosi yang amat. malu bila kenangkan memperkenalkan diri dengan tangis esak dan hingus meleleh...

Dalam BULATAN itu...
ada USTAZAH sebagai ketua... tuturnya lembut... bicaranya manis... aduh, sejuk hatiku... 
ada datin yang baik yang bermurah hati jadikan butiknya sbg tempat perjumpaan... 
juga ada politician... ada doktor... ada cikgu... ada mahasiswa... ada jurutera... ada ibu muda...
berbeza latar belakang dengan satu tujuan... 
mencari ilmu dan berukhwah demi mencari redha Allah...

kini sudah hampir 3 tahun aku dalam bulatan gembira itu...
betapa aku rasa kasih dan sayang serta nikmat berukhwah kerana Allah.
betapa aku rasa bulatan itu mengajar aku hidup dalam tarbiyah.
betapa aku rasa bulatan itu beri kekuatan utk aku yg jahil ini utk istiqamah dlm sebuah hijrah.
betapa aku rasa bulatan itu penyokong dalam kembara menuju JANNAH...

dan hari ini...
aku mahu kamu2 kesayanganku rasa apa yg aku rasa...
rasa bagaimana berukhwah kerana Allah...
rasa bagaimana hidup dengan tarbiyah.
biar kamu tak rasa kamu kembara sendirian di gurun tandus yg penuh cabaran dan dugaan serta fitnah di akhir zaman.
biar kamu rasa nikmatnya mengejar mahar sebuah Syurga.




------------------------------------------------


Ayuh... klik JUS - Jom Usrah dan dapatkan BULATAN GEMBIRA ANDA.







"KEEP CALM AND JOM USRAH!"


Adakah anda atau rakan-rakan anda berminat sertai usrah?

Mudah sahaja:

Hubungi JUS! Call centre di:

013-3891595 (sms/whatsapp/call)

Atau email kami di:

jomusrah.jus@gmail.com

Info yang diperlukan:

1) Nama penuh
2) Umur
3) tempat tinggal 
4) tempat kerja atau nama tempat belajar
5) HP number (untuk kami follow up tentang availibilty usrah)
6) email address

*Insya Allah, kami akan cuba cari usrah yang terdekat dengan tempat tinggal anda. 

**Alhamdulillah setakat ini usrah ada di setiap negeri termasuk sabah sarawak dan labuan.



------------------------------------------------





USRAH bukan untuk orang BAIK-BAIK...
USRAH adalah untuk orang yang ingin jadi LEBIH BAIK...



Friday, October 4, 2013

Aktiviti osem malam jumaat. ehemmmm~~~





berada dalam bulatan ini setiap malam jumaat sangat bermakna untuk saya.
bertemu lutut2 kami menyerap aura2 positif sesama sendiri...
terumatamanya dari Murobbiah kami.

malam tadi pertemuan ini dimulakan dgn bertadabbur Surah Al-Lail.
surah yang dimulakan dgn sumpah Allah;
tentang perbezaan kelam malam menutup cahaya terang 
dan terang siang menampakkan dgn terang yg remang dan tersembunyi...
sebagaimana bezanya kejadian lelaki dan perempuan... jantan dan betina.
begitulah diibaratkan usaha manusia itu berlainan dan krn itu balasannya juga berbeza.
usaha kebaikan akan membiakkan lebih banyak kebaikan dan
amalan keburukan membiakkan lebih banyak keburukan.
surah ini menerangkan bahawa amalan-amalan yang dikerjakan dengan tulus ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah itulah yang membawa kebahagiaan di akhirat kelak.

sorang demi sorang membaca dengan alunan tersendiri.
Allahu... surat cintaMu bukan sekadar untuk dilagu...
tapi bahasa indahMU memberi peringatan dan petunjuk besar untuk kami.


kemudian beralih pula kepada Kitab Tauhid.
mengupas tajuk "Manusia hendaklah melihat kepada makananya"
disampaikan oleh sahabat bulatan kami dgn penyampaian yg sgt bijak.
kagum saya! terima kasih Kak Lina!
dari makanan yg terhidang, yg perlu dilihat bukan sedpnya makanan semata.
tapi dari makanan kita mengenal sifat2 Allah:
Yang Maha Memberi Rezeki (Ar-Razzaq)
Yang Maha Bijaksana (Al Hakeem)
Yang Amat Mendalam Pengetahuannya (Al-Khabeer)
Yang Maha Mengetahui ( Al A'lim)
Yang Maha Mengasihani ( Ar-Rahim)
Yang Maha Pemurah (Al-Karim)
Yang Maha Memberi Petunjuk (Al-Hadi)
Yang Maha Menghidupkan sesuatu (Al-Muhyi)
Yang Maha Membentuk Rupa lagi Maha Mencipta (Al-Musawwir)

dan ada sentuhan mendalam dalam pertemuan malam tadi.
arghhh~~~ malam yang sangat kaya emosi. maaf, klon neng yatimah muncul di pertemuan itu.
seperti biasa, Kak Lily sentiasa jadi penyelamat bagi tisu. terima kasih Kak Lily!
sungguh, saat teruji begini, perkongsian tarbiyah sangat menyentuh hati.
menusuk lalu terbenam di lubuk paling dalam.
tapi sungguh... 
air mata yang gugur itu adalah tanda redha, syukur dan lega atas segala ujian yang Allah turunkan.
rasa Allah sdg menyampaikan salam rindu tanda kerinduan ingin melihat hambaNYA bersujud memohon dan mengharap segala pergantungan kepadaNYA.
Allahu... terima kasih atas ujian yg dtg pakej dgn sabar dan redha ini ya Allah.


nukilan dari Murabbiah:
Ada sentuhan yang mendalam di dalammya. Mencetus perkongsian pengalaman yang amat berharga daripada setiap ahli. Titisan air mata menjadi saksi atas rasa kesykuran di atas perubahan sikap diri yang amat ketara setelah mendapat tarbiyah.

Ujian hidup yang melanda kalau dulu dianggap sebagai badai yang bakal merobohkan apa saja, kini menjadi seperti angin lalu menyapu lembut rasa redha dalam diri. Tiada lagi rungutan dan ungkitan, yang ada ucapan hamallah, pasrah dan yakin Allah menguji untuk meningkatkan ketaqwaan diri. Uhibbukum ya akhawaati "usrati jannati"


Usrati Jannati ku sayang... terima kasih atas ukhwah ini...






Friday, June 28, 2013

Sesi dialog laki bini di malam Jumaat. eheeemmmm...




ok Perbualan laki bini di malam Jumaat ini bebas dr sbrg unsur2 18sx yer. masih sesuai untuk tontonan umum. tapi saya tak bertanggungjawab kalau anak2 dara yg masih belajar kat Uni tetiba geletis nak kahwin jugak sebab kahwin dan berkasih sayang krn Allah itu hasilnya adalah super ohsem! ;)

isteri: suami... kite rasa x larat sesangat nak gi usrah mlm ni. badan penat sgt.



suami: isteri tahu x... org yg lawan nafsu dia tu adalah jihad yg besar! lawan isteri! bla3 (syarahan ringkas dr suami)....




*lalu bangunlah isteri dan bersiap... 




suami: mesti nafsu menangis mlm ni sebab isteri abg kuat! 



isteri: dia biasa jer... x sedih mana pon (sambil wak muka toye)




*bila nk keluar. suami hantar sampai muka pintu. bagi air masak dlm botol sbg bekal

suami: nah, abg wak air utk isteri (air masak jer pon kot). isteri drive lek lok yer... niat krn apa?



isteri: kerana Allah. suami, nak salam! 




********
Alhamdulillah... QADA' (perlaksanaan takdir) nya  ialah: dgn suntikan/ceramah suami, saya cuba dan berjaya lawan nafsu malas dan usahakan utk ke usrah... dan QADAR (ketetapan takdir) nya Allah sudah takdirkan saya memang bersama-sama Bulatan Gembira saya yg ohsem malam tadi. 



itulah tajuk usrah malam tadi: KEPERCAYAAN KPD QADA' & QADAR. topik akidah yg agak berat juga. tapi Alhamdulillah... mendapat penjelasan yg saya tak dapat di sekolah mahupun universiti. 

kesimpulan:
kita adalah apa yang kita nak. bila kita nak yg baik, kita usahakan yg baik, insyaAllah Allah dorong kita yg baik. 

Salam Jummah buat kesayangan hamba semua.

sorry minggu ni tiada entry membina sebab tuan tanah super busy. tegang segala urat saraf tunjang dan sendiri. dan peluang bekerja di hari minggu seakan mekar mewangi. oh Tuhan, permudahkan urusan2 kami..



Friday, March 8, 2013

Gebang Jumaat - Bulatan Gembira dan Suami bikin malam Jumaat jadi Istimewa. ;)

Walaupun tajuk adalah tentang malam Jumaat yang mana sesetengah pasangan berkahwin akan tersenyum sinis membaca tajuk ini (mungkin?!), percayalah, entry ini lulus untuk tontonan umum (U) dan dijamin 100% bebas dari unsur 18sx. ngeheeee...

seperti biasalah, malam Jumaat untuk BERBULATAN GEMBIRA (pada yang baru masuk blog ini, ia juga boleh dibaca sbg USRAH). dan malam tadi turn saya untuk membuat penyampaian dgn mendapat tugasan untuk mentadabbur surah AL-FAJR (surah 89). beberapa hari saya berlatih membaca surah AL-FAJR tu dgn berlenggok (belajar dari tab jer pon); kununnya nak memberi kesan dalam penyampaian la (konon!). dan gigihlah mencari bahan/isi utk men-tadabbur surah tersebut. sekali sampai masa, bulan mengambang daaa... nasib baik Murobbiah saya super cekap. tlg dapatkan video bacaan surah ini di You Tube. memang menambah kesan sebab ia beserta terjemahan dan gambar2 yang berkaitan dgn ayat2 dalam surah itu. nanti saya lampirkan video ini di hujung entry ini ye...

tapi biasalah... saya adalah manusia spesis gelabah sotong. menulis bergebang dalam bentuk tulisan memang takde masalah, tapi bila dalam bentuk lisan ni memang hmmmmmm... tak tahulah nak cakap cemana. gugup melampau! terus hilang semangat darah pendekar dalam badan. hahahaha...
tapi Alhamdulillah... berjaya juga melalui fasa getir itu dgn tenang dgn bantuan Allah dan murobbiah serta sahabat2 bulatan gembira. tapi biasalah... sendiri menyampaikan, sendiri sob2 di akhir penyampaian. hahhahaa... sangatlah syok sendiri. nak buat cemana, saya ini sangatlah neng yatimah. specially semenjak masuk 3 carat ni (pakai carat mahal sikit dari series :p).
#tadabbur surah Al-Fajr ni nanti insyaAllah akan saya kongsikan di lain entry. InsyaAllah...

malam tadi, bukan jiwa sahaja diberi santapan rohani. malah perut pun dapat habuannya juga. pakat bawak juadah barang sedikit sorang. sedikit2, ramai2 jadi bukit. ;)
zati bawakkan bihun goreng sedap. kak lily bawakkan coklat muffin gebu yg yummy. ustazah bawakkan special drink; dragon fruit lychee. kak mel bawak kuih karipap tunjuk dan kurma dari Makkah. kak sarina bawak air twister. nik bwk kuih apa ntah - sedap! saya? bawak lepat ubi, lepat pisang dan kuih koci. semuanya hasil gigih tunjuk di pasar malam :p 
dan busyra bawak baby. hehee... memang meriah la malam tadi.


 



ahli bulatan gembira termuda. Wan Ahmad Imran, 2 bulan. behave sangat tunggu ibu berbulatan gembira. semoga jadi khalifah Allah yang berjihad di jalan Allah bila besar nanti wahai anak kecil. juga semoga jadi anak yg soleh untuk ibu dan ayah.


sebab ada sesi makan2 sambil gebang2 lepas sesi tarbiyah, jadi semalam lambat lah sikit habisnya Usrah kami. pukul 12 baru sampai rumah. bukak pintu, silau mata tengok rumah. oh, suami bertukar jadi mr. mama sepeninggalan isteri ke usrah. kain menggunung tak berlipat dah tersusun rapi dlm gobok, dapur dan ruang tamu berkilat. ohh~~~ suami... ada surprise malam jumaat untuk si isteri! ohhhh (lagi)~~~ kamu romantis dgn cara kamu yang tersendiri. tersentuh amat sang isteri! terus jadi lebih bermotivasi utk menjadi ketua bidadari syurga buat suami di Jannah Ilahi.
 
wahai suami2 di luar sana... kami kaum isteri tak mengharap hadiah yg mahal utk ekspresikan cinta, kasih dan sayang... kadang2 hal yg kecil itu BESAR kesannya. 


sudah sampai di akhiran entry. kan dah kata entry ini bebas dari unsur2 yg tidak sihat! :p


seperti yang dijanjikan, nah istimewa buat kesayangan; video bacaan Surah AL-FAJR:












Friday, February 22, 2013

Bulatan Gembira #Siapa PENDOMINASI?





Alhamdulillah, malam tadi diberi kesempatan dan ruang waktu lagi untuk sama2 bersimpuh ayu #eh tak... bersila bila lenguh, lepas tu, tukar posisi kepada bersimpuh semula dalam BULATAN GEMBIRA saya yang super osem.

malam tadi, bulatan gembira itu di-up kan lagi tahap gembira dan osemnya bila sahabat gergaji saya (gergaji stand for SAW - civil engineering course @ UTM Skudai) bila beliau ingin sama2 di taman syurga itu. siapa sangka, perkenalan dan persahabatan kami di UTM akhirnya dieratkan dalam bulatan yang sumpah osem ini. semoga Allah terus meng-istiqamahkan kami di jalan mujahadah ini...


Perkongsian Bulatan Gembira malam tadi:
 

Kata Murabbiah kami...


Dalam diri manusia ada 2 potensi 
antara kecenderungan IMAN dan KUFUR. 
IMAN akan menjadikan seorang muslim memperoleh ketajaman BASHIRAH (matahati). 
Sementara kekufuran didokong oleh NAFSU. 
Kedua-duanya akan berterusan bertarung dalam diri. 
Mana yang dominan, 
itulah yang akan mempengaruhi sudut pandang seseorang terhadap segala persoalan hidup. 
Jika diri didominasikan oleh NAFSU, maka jadilah kita orang yang KUFUR.
Jika diri didominasikan oleh BASHIRAH, maka jadilah kita orang yang BERIMAN.

Justeru sangat penting untuk kita pastikan persoalan2 besar dalam kehidupan seperti hakikat KETUHANAN, KERASULAN, IBADAH, ALAM, MANUSIA dan hakikat kehidupan difahami secara benar dan lurus berpandukan al-Quran dan As-Sunnah.



# syukur yang tak terucap bila semakin ramai yang berminat dengan bulatan gembira. setakat ini, sudah 4 silaturrahim dipanjang dan dieratkan bila bersama-sama di bulatan gembira. Dan sangat2 happy juga bila boleh tolong kesayangan2 saya yang di luar daerah dan negeri dapatkan bulatan gembira masing2. semoga kita semua terus diberi kelapangan dan kesempatan waktu untuk terus bergembira di bulatan gembira! :)



Salam SAYYIDUL AYYAM (penghulu hari) buat kesayangan...
dengan pesanan:
hari minggu bukan untuk ber-enjoy katak. 
inilah masa untuk mencari pengisian setelah 5 hari mengejar dunia dari pagi sampai senja...
tiba hari minggu, apa ada hal kita curi masa sejam dua cuma...
untuk saham yang tak ternilai harganya.


bahagikanlah masa sebaiknya...





Friday, February 8, 2013

Bulatan Gembira & repekan random di Hari Jumaat

Assalamualaikum kesayangan2 hati hamba...
semoga Jumaat yang indah ini buat kalian tersenyum tayang gusi mensyukuri segala apa yg Allah beri... dan semoga sentiasa dalam lindungan Ilahi...

Seperti biasa, Malam Jumaat saya ada Usrah atau nama kiutnya Bulatan Gembira.
semalam blk kerja dah dkt pukul 8 mlm. mmg badan penat tahap tak larat nak bercakap dah... so ingatnya memang dah tak larat lah nak gi ✿ Usrati Jannati ✿ tapi bila baca status dari Murobbiah kesayangan; Ustazah Zaimah yang bergegas bertolak dari kursus di Genting Highland semata-mata utk sesi tarbiyah bersama anak2 usrahnya... terus rasa macam: orang yg nak bagi ilmu begitu sekali 'beria'nya... kita yg nak disuap ilmu ni pulak, penat sikit jer dah taknak pergi. masa takde usrah, ko beria nak usrah. dah ada usrah yg osem, ko nak monteng pulak. dushhhhhhhh!!!

lepas tu terus teringat satu petikan dlm buku tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi; dunia ini memang untuk berlelah... tempat rehat kita adalah di akhirat. duppp! hati bagai terkena tumbukan padu kuasa halilintar satria perkasa baja hitam! dapat rasa segala bapak setan dalam diri lari lintang pukang cari tempat sembunyi. niat nak landing2 manja di tilam empuk di katil gojes ku buang jauh! terus terjun katil dan bersiap sepantas kelajuan awan kandung air tunggu masa nak hujan lebat (orang gemuk mana boleh lari laju2 :p) 

suami baik hati nak hantar dan tunggu bininya berbulatan gembira. katanya; orang tunggu anak tusyen... suami tunggu isteri usrah. comel jugak aper... ololooooooo~~~ terima kasih suami!

berada di bulatan itu, rasa lelah penat beransur hilang...saat memeluk ustazah, tetiba hati sebak sangat... oh, wajah ini sentiasa mengingatkan saya tentang indahnya SYURGA (alamak, ada air mata bertakung di kala menaip entry ini). gembira juga bila peluk sahabat2 bulatan yg lain; akma yg suka carik pasal dgn saya... kak lily yg awet muda... my dear zatie... ada kak mel yg tertinggal keretapi... hiks~ oh sayang rakan2 bulatan gembira saya...

dan semalam Ustazah bagi penghormatan kalau2 saya nak request untuk 'tadabbur' surah2 mana yg saya suka. memandangkan saya baru membaca tentang surah 'kembar'; surah Al-Muzzammil dan Muddathir dan surah itu bagai memberi suntikan yang halus dalam hati saya... saya request untuk Tadabbur Surah Al-Muzzammil.


Surah 73, Surah al-Muzzammil (Yang Berselimut) : 
 
Bismillahi al-Rahman al-Rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).
73-1:  Wahai orang yang berselimut!
73-2:  Bangunlah di malam hari, kecuali sedikit.
73-3:  Satu perduanya atau kurangilah daripadanya sedikit.
73-4:  Atau lebih daripadanya. Dan bacalah al-Qur’an itu dengan perlahan-lahan. 
73-5:  Sesungguhnya Kami (Allah) akan menurunkan kepada engkau perkataan yang berat.
73-6:  Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih mantap dan bacaan lebih berkesan.
73-7:  Sesungguhnya bagi engkau pada siang hari, urusan yang panjang.
73-8:  Sebutlah nama Rab (Tuhan) engkau, dan beribadahlah kepada-Nya (kepada Allah) dengan sebenar-benar ibadah. 
73-9:  Rab (Tuhan) masyrik dan maghrib, tiada Ilah (Tuhan) melainkan Dia (Allah), maka ambillah Dia (Allah) sebagai pelindung.
73-10:  Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik. 
73-11:  Dan biarkanlah Aku (Allah) bertindak terhadap orang yang mendustakan itu, orang yang mempunyai kemewahan, dan berilah mereka tangguh  sebentar.
73-12:  Sesungguhnya pada sisi Kami (Allah) ada belenggu-belenggu yang berat dan api yang menyala-nyala. 
73-13:  Dan makanan yang menyumbat kerongkong dan azab yang pedih.
73-14:  Pada hari bergoncangan bumi dan gunung-gunung, dan jadilah gunung-gunung itu tumpukan-tumpukan pasir yang berterbangan. 
73-15:  Sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutuskan kepada kamu seorang rasul, yang menjadi saksi terhadap kamu, sebagaimana Kami (Allah) telah mengutuskan seorang rasul kepada Fir’awn. 
73-16:  Maka Fir’awn menderhakai rasul itu, lalu Kami (Allah) seksakannya dengan seksaan yang berat. 
73-17:  Maka bagaimanakah kamu akan memeliharakan diri kamu jika kamu tetap kafir kepada hari yang menjadikan anak-anak beruban.
73-18:  Langit menjadi pecah belah kerananya, adalah janji-Nya (janji Allah) itu pasti terlaksana.
73-19:  Sesungguhnya ini adalah suatu peringatan. Maka sesiapa yang menghendaki nescaya dia menempuh jalan kepada Rab (Tuhan)nya.
73-20:  Sesungguhnya Rab (Tuhan) engkau mengetahui bahawa engkau berdiri kurang daripada dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiganya dan (demikian pula) segolongan daripada orang yang bersama engkau. Dan Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Dia (Allah) mengetahui bahawa engkau tidak dapat menentukannya, maka Dia (Allah) menerima taubat engkau, kerana itu bacalah apa yang mudah daripada al-Qur’an. Dia (Allah) mengetahui bahawa akan ada antara kamu orang yang sakit dan orang yang berjalan di bumi mencari sebahagian daripada kurnia Allah, dan yang lain berperang pada jalan Allah, maka bacalah apa yang mudah daripadanya, dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat, dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik. Dan kebaikan apa sahaja yang kamu perbuat untuk diri kamu nescaya kamu memperolehi di sisi Allah yang baik dan lebih besar pahalanya. Dan mohonkanlah keampunan kepada Allah, sesungguhnya Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani).

cuba kammo2 kesayangan hati hamba baca terjemahan surah ini... saya baca berulang-ulang... terasa ssesuatu yg istimewa... seakan serasi dengan jiwa... memberi sentuhan yang berbeza. tidakkah kamu rasa apa yg saya rasa? rasa yg tak terucap dengan kata... yg pastu menjentik lubuk rasa.  ya Tuhan... sungguh Engkau Maha Pengasih Maha Penyayang! 

Lepas tadabbur surah ini, banyak perkongsian2 lain yang kami bincangkan. tentang situasi Islam yang semakin meruncing hinggalah perkongsian peribadi. 


kesayangan2 hati hamba...
bersimpuh sopan dari kiri ke kanan: 
Zatie, Kak Lily, Ustazah Zaimah murobbiah disayangi, saya (perlu ker nak diperkenalkan lagi :p), Nissa, Akma n Kak Mel.




Di kegelapan malam... 
ku sujud padaMU Tuhan. 
Ya Allah, damai dan tenang!
KAU buang segala resahku... 
KAU padam segala lelahku... 
KAU permudahkan urusanku...

di hujung sujud, satu pintaku...
Tetapkan aku di jalanMU.




Friday, December 28, 2012

Aktiviti malam Jumaat (bukan entry lucah)



BERBULATAN GEMBIRA
hilang lenyap segala lara dunia bila dapat berkumpul bersama sahabat2 bulatan gembira saya yg osem! 
I love Usrati Jannati!!!

"Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku" (Riwayat Muslim)


malam tadi bincang pasal manusia MUNAFIK & FASIK.

  • Orang fasik ialah orang Islam yang selalu melakukan dosa besar atau berterusan melakukan dosa kecil.
  • Orang munafik pula ialah orang yang berpura-pura menunjukkan keislaman dan ketaatan tetapi hati mereka sebenarnya tidak beriman dan taat kepada Allah
 
zaman Rasulullah S.A.W dulu, yang munafik ni lah solat di saf paling hadapan!  manusia MUNAFIK ni boleh jugak diibaratkan gunting dalam lipatan kan?! nauzubillah... jauhkan kami dari sifat2 ini ya Allah...





dan aktiviti malam jumaat lain:









jeng jeng jenggggggg~~~











biasa dodoi 'baby tua' tapi malam tadi, berpeluang dodoi baby kecik. olo tomei tomei tomeiiiii~~~
ini adalah anak buah dalam undang2 yang paling bongsu buat masa sekarang sebelum dapat anak buah dalam undang2 yang baru dalam masa 2 3 bulan lagi.
#pasal la budak kecik ni wangi sangat kan... jauh lebih wangi dari baby tua! :p



sekian aktiviti malam Jumaat saya...
kan dah kata, bebas dari unsur2 lucah! :p




Friday, December 7, 2012

Bulatan Gembira #Kepulangan yang dinanti...


Cara terbaik utk membantu diri supaya terus istiqamah adalah; berikan hati sentuhan peribadi iaitu tarbiah Islamiah yang akan recharge balik semangat kita. so how? saya pilih BULATAN GEMBIRA aka USRAH!

Alhamdulillah, malam tadi diberi kesempatan untuk terus berbulatan gembira bersama Murobbiah kesayangan kami selepas sebulan lebih tak jumpa. bersiaran secara eklusif di rumah Ustazah. So malam tadi, sesi bulatan gembira lebih kepada episod menziarah melepas rindu kat Ustazah yang penuh perkongsian tentang keindahan dan kehebatan Tanah Suci. tentang keberkatan doa. oh banyak tentang yang membuat diri semakin melonjak-lonjak ingin ke sana.

melepaskan kerinduan yang terbeban... 
yeaaaa~ Murobbiah kami sudah pulang! pulang dengan wajah yang berseri-seri dan semakin slim dengan title tambahan sbg HAJAH. hajah atau tidak, Ustazah tetap the best! kesayangan ✿ Usrati Jannati ✿ (Usrati Jannati adalah nama manja group usrah kami)


Syurbah air tangan Murobbiah untuk mutarabbiahnya yang super delicious!
confirm ramai tak tahu ape tu syurbah kan?!
Syurbah ialah bubur khas dari Arab yg di buat dari bahan utama beras wheatmeal serta daging kambing muda, dicampur santan, merica dan rempah-rempah. Bubur ini sangat menggoda selera dengan aroma yang khas. cicah ngan roti mmg umph!
saya kenal syurbah ni pun dari Ustazah. ni kali ke-3 makan dan ke tiga-tiganya air tangan ustazah! heheee... super sedap!!! up lagi sayang kat ustazah! ;)
 

inilah geng bulatan gembira saya yang super osem!
havoc abes rumah Ustazah malam tadi. memacam cerita nak story sampai berebut-rebut nak bercakap! hahahhaaa... tapi paling klakar, tengah cakap2 tu terus stop bila nak ambil gambar! korang memang cute!


Semoga ukhwah yang terjalin ini berpanjangan hingga kita sama2 berjiran di Jannah Ilahi (angan tinggi melangit buat motivasi mengejar syurga)... saling menemani perjalanan di dunia fatamorgana ini hingga sampai ke destinasi. love love loveeee... love uols Lillahi Taala...



Friday, October 12, 2012

SEDIH, BAHAGIA, TERHARU, GEMBIRA... SEBAK TANGIS semuanya ada dalam Bulatan Gembira tapi hasilnya tetap satu: OSEM! :)


Assalamulaikum buat kesayangan di penghulu segala hari...
semoga kita semua dalam lindungan dan redha Allah sentiasa...


Alhamdulillah, malam tadi masih diberi kesempatan waktu untuk berBULATAN GEMBIRA. malam tadi merupakan sesi yang... arghhh susah nak describe. bermacam rasa... bercampur baur bergaul mesra menghasilkan satu rasa yang AWESOME! :)

SEDIH... sedih untuk berpisah walau seketika dengan Murobbiah kesayangan kami, Ustazah Zaimah akan berangkat ke Tanah Suci Mekah menyambut panggilan menjadi tetamu di rumah Allah. Alhamdulillah, BAHAGIA untuk Ustazah sebenarnya... terpancar rasa gembira dan teruja dari raut wajah Ustazah...  dalam pada itu, saya TERHARU sangat bila mana di saat akhir keberangkatannya, Ustazah masih fikirkan kami... usaha carikan ustazah baru untuk menggantikan tempatnya untuk memastikan perjuangan usrah ini diteruskan... memastikan hati2 kami sentiasa dibasahi dengan tarbiyah... jika ustazah sebesar itu usahakan utk adakan usrah utk kami sepanjang sepeninggalannya, apa alasan kami utk x menghadirkan diri?! InsyaAllah ustazah... kami tetap akan menghidupkan Usrah ini sepeninggalan Ustazah nanti. kami tahu, doa ustazah sentiasa dengan kami...
ya Allah, besarnya cinta dan kasih sayangmu buat kami ya Murobbiah... 

GEMBIRA dengan sesi taaruf dengan Ustazah baru kami, Ustazah Rozita yang akan memikul amanat Ustazah untuk 'menjaga' kami... juga dengan seorang lagi ahli baru; Akmar. terima kasih Blog Kakikusukaberjalan (eh, ni mcm nama blog sendiri jer :p) membawa ahli ke-2 dlm bulatan gembira kami ni! sayang blog sendiri sebab menjadi medium untuk saya melebarkan sayap silaturrahim untuk sama2 mencari redha Allah...

kalau takde sesi SEBAK TANGIS tu memang tak sah la kan... kata anak beranak Neng Yatimah kekdahnya... hehheee... yer, perkongsian Ustazah Zaimah buat saya sekali lagi dapat derma tisu dari rakan usrah. MasyaAllah, memang terbukti KAU uji orang yang KAU sayang... KAU uji orang2 yang KAU tahu kemampuannya untuk mengharungi ujianMU dengan tabah. KAU uji di dunia untuk kau bagi Syurga yang tinggi maharnya... dan rendahnya diri ini bila punya seseorang yang dekat dengan kita yang memang mengorbankan rasa, perasaan dan terima ketentuan Allah dengan redha hanya kerana... mengejar Syurga! ya Allah... ya Allah.... ya Allah... jika ditakdirkan aku terpilih untuk terima ujianMU sebesar itu, KAU kuatkanlah hatiku... lapangkanlah dadaku... Perkongsian terhebat dan eklusif dari Ustazah kesayangan buat saya lebih mensyukuri apa yang Allah aturkan utk saya... ohhhh~ tamat sudah sesi air mata...

dan... semalam juga makin terserlah bakat lawak rakan2 bulatan gembira saya. ohhhh~ uols makin LUCU dong!!!


sungguh, saya sayangkan BULATAN GEMBIRA saya!!! sangat-sangat!!!


Semoga Allah memberi kesihatan yang baik untuk Ustazah Zaimah dan Ustaz untuk melakukan yang terbaik dan dapat haji mabrur 'di sana'... bila saya minta ustazah doakan saya supaya saya dan suami juga diberi peluang sama untuk menjejakkan kaki 'ke sana', ustazah cakap ustazah juga akan doakan 'keinginan yang terpendam' di hati saya... ustazah saya memang super best! dia tahu apa yg ada dalam fikiran saya sebenarnya! yup, again n again, I LOVE YOU LILLAHI TAALA Ustazah... 'll miss u a lot!!!

#  Jika sudi, doakan kesihatan dan keselamatan Ustazah saya yer kesayangan...



Thursday, September 27, 2012

mintak tolong VOTE kan please... tapi ni bukan vote handbag lagi dah! ;)


Nak minta vote uols pilih nama yg sesuai utk BULATAN GEMBIRA saya boleh?

1- BULATAN GEMBIRA TO JANNAH
2- BULATAN GEMBIRA INI SUMPAH OSEM
3- BULATAN KAMI
4- USRATI JANNATI

atau ada cadangan yg lebih osem sgt2 dialu-alukan... :)



Friday, September 21, 2012

Menangis di Bulatan Gembira...

Assalamualaikum wahai kesayangan sekalian...
Barakallahu fikum (semoga Allah memberkati kamu).




Seperti biasa... khamis malam jumaat saya akan berbulatan gembira. 
malam tadi adalah antara sesi bulatan gembira yang buat rakan bulatan gembira saya terpaksa hulurkan tisu untuk saya sebab kesian kot tengok shawl saya jadi mangsa untuk kesat air mata hingus segala... entah, bila baca tafsiran surah Ar-Ruum malam tadi, saya sebak hati sangat2.

Kalau kamu rasa saya ni cengeng, selaklah tafsiran milik kamu sekarang. takde tafsiran, cuba gugel. baca surah Ar-Ruum ayat 50-60. ok takpe, tak yah selak pon takper... saya senang hati nak kongsi beberapa ayat kat sini:


A052
(Maka janganlah engkau berdukacita - wahai Muhammad - terhadap keadaan mereka yang demikian), kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling undur (disebabkan keingkarannya). [Ar-Ruum; 52]


A053
Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (matahatinya) supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sedia beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang menurut perintah. [Ar-Ruum; 53]



dan bila sampai ayat yang last, ayat 60... tak tertahan saya membacanya...


A060
Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah. [Ar-Ruum; 60]


ya Allah... sungguh hatiku rapuh! air mataku murah! tumpah untuk kesekian kalinya... lagi dan lagi! tak sanggup ku dengar kau dihina ya Rasulullah... tapi yer, mereka2 itu adalah mereka yang 'buta' hati dan 'pekak' telingannya.

dan Ya Allah...
kau jadikanlah kami yang TAK BUTA hati dalam menerima ajaranMU...
kau jadikanlah kami yang TAK PEKAK telinga dalam mendengar seruanMU...



# menerbitkan filem menghina Rasulullah SAW jelas merupakan satu penghinaan. Namun, meninggalkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW lagi besar penghinaannya.

# setelah penat mengutuk, tangan tak lepas mengepit rokok keluaran Barat! Jika ini berlaku, maafkan saya untuk menyatakan bahawa duduk diam di rumah jauh lebih baik daripada bertopengkan manusia yang cintakan Rasulullah SAW.



Friday, July 13, 2012

Berkongsi Gembira



Alhamdulillah, malam tadi masih diberi ruang waktu dan kesihatan yg baik untuk terus berada dalam BULATAN GEMBIRA itu...

dan lebih menggembirakan bila boleh dapatkan bulatan gembira untuk beberapa kawan dan kegembiraan berganda bila mereka email/sms share pengalaman mereka berbulatan gembira. 

terbaru, msg dr seorang rakan pangkat kakak (oh, saya berangan muda! lalalala);


"sume humble je
pangkat dr, profesor suh panggil makcik
mmg rs sgt diraikan
makcik tu plak sape2 je jmp org dia kenalkn
rasa mcm mak mentua yg esaited dpt menantu
haahahaha"


kan dah kata... bulatan gembira itu sangat osem!!!


# masih ada yg x faham apa itu bulatan gembira. 
oh, bulatan gembira nama komersil. nama sebenarnya isalah USRAH. ;)



Friday, July 6, 2012

Bulatan Gembira




Kebiasaannya, memang setiap Khamis malam Jumaat saya akan berbulatan gembira bersama ahli2 bulatan gembira yang lain di Setiawangsa. tapi dah 2 minggu dah saya tak pergi... sebab malam tadi pon saya masih lagi dalam fasa berpantang dan tak boleh ke bulatan gembira lagi, diorang semua setuju untuk berbulatan gembira di rumah saya! gembira sangat2! 

So malam tadi, Cik Esah juga berpeluang merasai keindahan bulatan gembira. diorang dah balik, cik esah sedikit beremosi n menangis melihat keindahan berkasih sayang kerana Allah. Kan oarang dah gitau MA betapa bestnya bulatan gembira ni! ;)
Cik Esah excited nak follow saya berbulatan gembira di hari2 akan datang. k, pasni Cik Esah jadi ahli bulatan gembira paling veteren! hehehehe... tapi tak per MA, tiada istilah terlambat dalam menuntut Ilmu. kita sama2 menggali keindahan Islam sama2... oh, saya pula emosi. huhuuuuu...


 lepas berbulatan gembira, kita gembirakan perut! oyeahhhhh~


terimakasihmenggunung kpd Cik Esah sebab sediakan food buat rakan2 bulatan gembira.
laksam + sardin gulung dan sedikit buahan pelawas. ;p


 secara eklusip saya perkenalkan murabbiah kesayangan hati saya; Ustazah Zaimah Yaha.
semoga Allah terus memberi beliau kesihatan yg baik dan semangat yg tak luntur dlm jihadnya menyampaikan ilmu buat kami2 yg dahagakan tarbiyah darinya...
love u LILLAHI TAALA ya Murobbiah!


 bersama khalifah cilik, Arfan yg gilakan robot dan motor baba cik na (panggilan manja utk achik).


Saya cintakan BULATAN GEMBIRA!
sebab ia bulatan yg paling osem!!!


# kesayangan... bulatan gembira itu bukan untuk orang2 baik... 
tapi untuk orang2 yang ingin berubah untuk jadi lebih baik...



Thursday, June 28, 2012

Hadirmu yang bermakna...

Sanah Helwah ya Murabbiah... 
Mengenalimu adalah antara perkara yg terbaik yg Allah anugerahkan untukku...
kau mengajarku mencintai sesama manusia kerana Allah...
nasihatmu, pesananmu dan ilmumu bagai dipaku di hatiku...
bait kata yg keluar dari tuturmu begitu menyenangkan...

Ya Allah...
berikan Ustazah kesihatan yang baik...
seiringkan pertambahan umurnya dgn pertambahan taqwa dan imannya...
dan terus tetapkan hatinya di jalan mujahadah membimbing kami2 yg dahagakan tarbiyah darinya...

Ya Allah...
kekalkan silaturrahim ini jika buat aku lebih dekat denganMU...
dan letakkan Murabbiahku sebagai ummatMU yang beriman...

Cinta kerana Allah buat Ustazah...

Murabbiahku, Ustazah Zaimah Yaha... 
hadirmu memberi warna2 indah dalam hidupku...


#Bulatan gembira sangat menggembirakan!!! Thank you Allah!




Monday, March 26, 2012

Pesanan Murabbiah...

Murabbiah saya kata...
kita kena sentiasa mendengar suara fitrah kerana suara itu sentiasa mengajak kepada kebenaran...

Murabbiah saya kata lagi...
dan hati akan ketemu KETENANGAN kita bila kembali kepada fitrah...

dan Murabbiah saya kata lagi...
Hati yang suci bersih sering terkesan dengan kalimat-kalimat nan indah langsung relung hati mengikat dengan rantai iman yang lebih kuat dan teguh. Teruskan perjalanan menuju jalan yang lurus.

air mata saya bertakung...
hati saya menangis...
tapi saya kena control macho!
sesungguhnya fitrah diri membenarkan kata2 Murabbiah saya menyucuk segenap rongga...
menghunus dan memadam sedikit demi sedikit titik2 hitam di hati...
Terima kasih Ustazah...







Sesungguhnya saya bahagia dalam BULATAN GEMBIRA itu...

Ukhwah Fillah...

Wednesday, January 18, 2012

Pengalaman pertama BerBULATAN GEMBIRA. Yer, sumpah sangat OSEM!


Ingatkah lagi entry ini:

Tentang keinginan ingin punya BULATAN GEMBIRA yg osem...

Kat mana nak dapat? Camana?
Aku sekarang bukan lagi di zaman U yang mana BULATAN GEMBIRA datang ketuk bilik carik kita... tapi masa tu, lagi mengelak lagi adalah! oke, biarkan. usah dikenang kejahilan lama...

Dalam mencari...
Tetiba ada kawan inchik suami tanya nak join dia usrah tak? oh, ibarat manusia kebulur di padang pasir yang diberi set NANDOS yang sungguh yummyyyy~~~ pantas kata NAK NAK NAKKK!!!
See, bila kamu berkehendakkan sesuatu yang baik, Allah akan permudahkan urusanmu... tinggal MAHU @ TIDAK MAHU... yer, aku mahu!!!

Sebelum majlis bermula, aku risau... segan.. dan tak dapat menggambarkan bagaimana akan situasinya... bolehkah aku sesuaikan diri?

Dan di malam itu...
buat pertama kalinya aku berada di dalam BULATAN yang sumpah osem itu, air mataku cam waterfall... laju dan mencurah curah. tidak terbayang suatu hari aku diberi peluang oleh Allah untuk berada dalam bulatan seperti itu... bukan kerana terpaksa... tapi aku mencari kelompok2 itu... sukar digambar dengan kata2... sumpah emosi yang amat. malu bila kenangkan memperkenalkan diri dengan tangis esak dan hingus meleleh... dan bila melihat mata mereka-mereka yang berkaca dan memberi sokongan, ohhhhhhhhhh~~~ azlina semakin beremosi! :p

Dalam BULATAN itu...
ada USTAZAH sebagai ketua... tuturnya lembut... bicaranya manis... aduh, sejuk hatiku... 
ada datin yang baik yang bermurah hati jadikan butiknya sbg tempat perjumpaan... naik juling bijik mata aku jeling2 jubah yang cantik2 dalam butik tu. ngeheee...
juga ada politician... ada doktor pakar... ada cikgu... ada mahasiswa... ada jurutera... ada ibu muda...
berbeza latar belakang dengan satu tujuan... 
mencari ilmu demi redha Allah...
ohhhh~~~ hati hiba lagi...

Dalam BULATAN itu...
berbicara secara santai tapi bermakna...
pasal Kota Mekah... pasal isu semasa...
masing2 diberi kebebasan utarakan pendapat... 
masing2 diberi peluang utarakan persoalan...
dan aku belajar satu perkara baru:
ISTIDRAJ - kenikmatan yang diberi dalam kemurkaan oleh ALLAH...
ohhhhh~~~ mintak dijauhkan...

aku gembira dalam bulatan itu...
aku tenang dalam bulatan itu...
biar pertama kali berjumpa mereka, ku rasa kasih itu... 
kasih kerana Allah... 
dalam kembara menuju JANNAH...
#hiba lagi untuk kesekian kali ~~~





# Terima kasih Ustazah... terasa sangat cool bila ustazah peluk saya dan memberi kata2 semangat buat saya... Terima kasih juga Kak Mel yang bawak saya ke bulatan itu... tak lupa buat kakak2 dan adik2 usrah yang baik... semoga redha Allah milik kalian...



USRAH bukan untuk orang BAIK-BAIK...
USRAH adalah untuk orang yang ingin jadi LEBIH BAIK...